Thursday, December 6, 2018

Program Homestay Malaysia Diiktiraf Oleh Antarabangsa

Program Homestay Malaysia Diiktiraf Oleh Antarabangsa


Program homestay yang dibangunkan Kementerian Pelancongan mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa apabila memenangi tempat pertama Anugerah 'Ulysses' kategori Inovasi Dalam Dasar Awam dan Governan di Istanbul, Turki pada November 2012



Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara Asia yang mendapat pengiktirafan Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) itu bersama 4 negara lain iaitu Brazil, Mexico, Austria dan Sepanyol yang memenangi kategori masing-masing.



Jelas beliau, pengiktirafan itu adalah hasil usaha kementerian dalam membangunkan program pelancongan baharu iaitu Program Pengalaman Homestay Malaysia yang berasaskan kegiatan ekonomi dan sosial di luar bandar.



"Sejak dilancarkan pada 2005, program homestay telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan perkembangan itu menyaksikan peningkatan jumlah pelancongan setiap tahun.

"Pada 2006, sebanyak 31,833 pelancong dalam dan luar negara dicatatkan diikuti sebanyak 65,715 (2007), 91,533 (2008), 161,561 (2009), 196,472 (2010) dan 254,981 (2011)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Yen Yen, menerusi program homestay tersebut, pelancong berpeluang untuk tinggal bersama penduduk di kawasan luar bandar dan mempelajari cara hidup serta budaya tempatan.


"Sepanjang menetap di kawasan itu, mereka berkesempatan mengenali produk pelancongan negara seperti makanan, pakaian, dan hiasan yang belum pernah dilihat sebelumnya," ujarnya.

Katanya, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pelancong, malah telah menjadi sumber pendapatan bagi masyarakat tempatan dan luar bandar.

Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan rasa bimbang terhadap kualiti kemudahan awam negara terutamanya pemandu teksi yang tidak memberi perkhidmatan dengan sebaiknya.

"Banyak aduan diterima berhubung tindakan sesetengah pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab mengenakan tambang sesuka hati tanpa menggunakan meter.

"Sehubungan itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Malaysia telah menjalankan kajian mengenai perkhidmatan pemandu teksi dan mengenalpasti langkah bagi menangani masalah itu," ujarnya.

Terdahulu, beliau menyerahkan replika cek bernilai RM180,000 hasil sumbangan Hotel Shangri-La kepada 7 pesakit jantung bagi meringankan beban mereka untuk menjalani pembedahan.


Sumber: Adaptasi dari Utusan Malaysia, 21/11/2012


No comments:

Post a Comment